Kelemahan saya dalam perancangan pembelajaran ialah saya kurang kreatif dalam cara saya mengajar. Saya mungkin akan menggunakan cara pengajaran yang biasa iaitu menggunakan sedikit power point atau menunjukkan video. Pada abad ini, cara pengajaran sebegitu mungkin boleh menyebabkan pelajar berasa bosan kerana mereka sudah biasa didedahkan dengan elemen penyampaian yang sebegitu, jadi mereka mengharapkan guru untuk menggunakan teknik pengajaran yang baru dan yang lebih menarik. Oleh itu, kelemahan saya disini ialah saya kurang mahir dalam mencari teknik pengajaran yang baru, menarik dan kreatif. Saya akan mencari artikel-artikel bagaimana untuk meningkatkan kemahiran saya dalam merancang pembelajaran.

Kelemahan saya yang kedua ialah saya menginginkan sebuah sesi pengajaran yang ceria dan gembira. Oleh itu, saya akan melakukan aktiviti yang menarik seperti permainan semasa pengajaran. Oleh kerana terlalu menginginkan suasana kelas yang ceria dan pelajar juga gembira, saya mungkin akan menggunakan masa yang terlalu lama untuk menjalankan permainan sahaja. Walaupun dengan cara permainan murid akan mudah faham, tetapi mungkin ada sesetengah topik yang tidak perlu dijalankan dengan cara permainan. Jadi sekiranya saya tetap menggunakan cara permainan, bermaksud masa pengajaran tidak saya gunakan dengan sebaiknya. Bagi mengatasi masalah ini, saya perlulah membuat penelitian mendalam bagi setiap topik yang perlu diajar, adakah perlu topik ini disampaikan dengan cara permainan atau tidak dan juga saya perlu mencari permainan-permainan lain yang lebih menarik dan sesuai dijalankan di dalam kelas supaya murid tidak bosan dengan permainan yang sama sahaja.

Begitu juga, saya mempunyai kelemahan dalam menilai tahap kefahaman pelajar. Untuk menilai tahap kefahaman pelajar, guru boleh melakukan ujian kefahaman di akhir waktu kelas. Permasalahannya di sini, ujian kefahaman itu juga mengambil masa untuk dilakukan. jadi saya tidak yakin ujian itu dapat dilakukan setiap akhir waktu kelas. Sekiranya saya hanya menyoal adakah mereka faham dengan topik hari ini dan meminta mereka untuk berjumpa saya jika ada yang mereka kurang faham, sudah tentu semua akan menjawab faham dan tidak akan ada yang datang berjumpa. Oleh itu, susah untuk saya pastikan adakah mereka bernar-benar faham dengan topik tersebut. Kesimpulannya disini, saya kurang tahu berkenaan dengan teknik untuk menguji kefahaman murid. Jadi, penyelesaiannya saya boleh mencari artikel-artikel berkaitan dan membaca pengalaman-pengalaman guru-guru lain dalam mengendalikan kaedah ini.

Setakat ini itu sahaja kelemahan yang dapat saya kenalpasti dalam merancang pengajaran. Saya berharap kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi dan diselesaikan sebelum saya pergi ke latihan mengajar.