Rancangan pengajaran harian merupakan penulisan yang menggunakan format tertentu bagi   kaedah pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran bagi satu mata pelajaran. Rrancangan pengajaran harian ini memerlukan perancangan yang teliti mengikut sukatan pembelajaran yang sesuai. Selain itu, ia juga mempengaruhi proses pengajaran dalam kelas yang mana guru haruslah bijak menggunakan masa secara optimum tanpa membuatkan pelajar berasa bosan. Oleh itu, penghasilan rancangan pengajaran harian ini memerlukan kreativiti seorang guru untuk menarik minat pelajar.

            Sebagai seorang bakal guru, saya haruslah mahir dalam menghasilkan rancangan pengajaran harian. Namun, pelaksanaan rancangan perancangan harian tersebut bukanlah mudah kerana memerlukan kecekapan dari pelbagai aspek. Bagi saya, kelemahan diri saya ialah kurang pengetahuan dalam aktiviti-aktiviti yang mempunyai unsur kreativiti dan berteraskan teknologi. Tetapi bagaimana saya mengatasinya adalah dengan melakukan lebih banyak carian maklumat serta rajin bertanya individu seperti guru ataupun rakan yang telah menjalani latihan mengajar. Manakala semasa pelaksanaan rancangan pengajaran harian pula, salah satu kelemahan saya ialah bahasa pertuturan yang digunakan. Saya akui bahawa ianya merupakan kelemahan utama memandangkan saya mempunyai loghat bahasa seorang yang berasal dari Sabah. Kami mempunyai loghat tersendiri dan meskipun telah lama berada di Semenanjung, saya masih tidak mampu bertutur dalam bahasa melayu dengan baik. Namun begitu, saya akan mengatasinya dengan hanya membiasakan diri dalam pertuturan bahasa melayu secara baku.

            Kesimpulannya, setiap individu mempunyai kelemahan masing-masing tetapi ianya boleh diatasi sekiranya kita berani mencuba sesuatu yang baru dan mahu melakukan pembaharuan.