Rancangan pengajaran didefinisikan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah atau makmal dalam satu jangka masa tertentu. Sebagai seorang guru yang bitara, guru perlulah membuat perancangan bagi sesi pengajarannya sebagai satu platform persediaan bagi mewujudkan suasana pengajaran yang kondusif. Menurut Burden & Byrd (1999), perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran. Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan teknik pengajaran supaya dapat difahami pelajar.

Sememangnya diakui bahawa saya mempunyai kelemahan dalam menghasilkan perancangan pengajaran. Antara kelemahan saya dalam perancangan pengajaran ialah kurang pendedahan tentang pelbagai teknik serta kaedah pengajaran yang terkini khususnya pengajaran pada abad ke-21 ini. Hal ini telah mendorong kepada kekurangan idea dalam menghasilkan bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai khususnya mengikut kategori-kategori pelajar yang berfokuskan kepada tahap penguasaan ilmu seseorang pelajar itu. Secara tidak langsung, BBM yang dihasilkan akan menjadi kurang menarik, yang turut membawa maksud kurang berkesan terhadap pelajar dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di bilik darjah. Oleh yang demikian, saya seharusnya mengkaji kembali cara serta strategi pengajaran yang bertepatan dengan setiap tahap penguasaan pelajar agar pengajaran yang disampaikan diterima baik oleh para pelajar. Selain itu, saya juga perlu mengakses internet, merujuk teknik pengajaran guru-guru cemerlang dan sebagainya bagi mendapatkan jalan penyelesaian kepada permasalahan ini.

Seterusnya, saya mempunyai kelemahan dalam memberi penjelasan atau huraian tentang sesuatu pengajaran terutamanya apabila diajukan soalan secara spontan. Hal ini demikian kerana tahap penguasaan ilmu yang rendah terhadap pengetahuan umum menyebabkan saya mudah gagap, terkelu atau menjawab soalan tersebut secara tidak jelas. Ekoran daripada itu, ianya membuatkan diri saya mudah terlupa akan perkara-perkara lain yang saya hendak sampaikan setelah itu berkenaan sesuatu topik yang dibincangkan. Justeru, saya perlulah mengambil beberapa tindakan bernas dalam mengatasi permasalahan yang timbul ini. Antaranya ialah saya sewajarnya mencari kembali keratan akhbar, artikel dan sebagainya khususnya yang memfokuskan isu-isu semasa yang hangat diperkatakan. Ianya sedikit sebanyak membantu saya agar sentiasa bersedia dengan sebarang jenis soalan dan menjawabnya dengan baik dan lancar.

Terima kasih.