Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bagi melengkapkan proses pengajaran, pembelajaran dan pemudahcaraan semasa di dalam bilik darjah, rancangan pengajaran adalah amat penting bagi menjadikan sesuatu pengajaran itu lengkap, kondusif dan menarik untuk dipelajari. Para pelajar juga akan lebih tertarik dengan adanya rancangan pengajaran yang menarik dan hal ini boleh menarik minat para pelajar tersebut untuk lebih memahami dengan lebih mendalam terhadap sesuatu topik. Rancangan pengajaran merupakan suatu kaedah awal yang digunakan oleh guru bagi merancang proses pengajaran di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Rancangan Pengajaran merujuk kepada pelan tindakan untuk sesuatu program pengajaran dan pembelajaran yang disediakan berdasarkan sukatan pelajaran mata pelajaran yang akan diajar untuk tahun akademik atau semester tertentu. Melalui adanya rancangan pengajaran ini, guru boleh merancang strategi yang berkesan selaras dengan minat dan kebolehan pelajar untuk dilaksanakan dalam bilik darjah seperti penggunaan ICT, permainan ilmiah, aktiviti berkumpulan dan lain-lain lagi mengikut objektif pengajaran yang telah ditetapkan.

Namun begitu, setiap guru pastinya ada kelemahan tersendiri dalam merancang pengajaran yang berkesan. Kelemahan saya dalam merancang pengajaran adalah dari sudut merancang aktiviti kepada para pelajar. Saya sukar untuk memilih aktiviti yang sesuai dan menarik yang mampu menarik minat para pelajar. Oleh hal yang demikian, aktiviti yang dianjurkan adalah tidak menarik dan pelajar mudah bosan dengan sesi pengajaran saya. Selain itu juga, saya juga menghadapi kesukaran dalam menggunakan aplikasi baru. Contohnya dengan menggunakan laman web yang baru saja saya kenali seperti google sites, eufolia, padlet dan sebagainya. Saya juga kurang mahir dalam menggunakan alat berteknologi seperti penggunaan LCD di bilik darjah. Di samping itu juga, kelemahan saya dari segi penyampaian saya terhadap sesuatu topik adalah kurang berkesan dan sukar difahami kerana adakalanya penyampaian saya kurang jelas dan kurang didengari.

Bagi mengatasi masalah ini, saya akan membuat perubahan dalam mencari dan mereka lebih banyak lagi aktiviti yang menarik selaras dengan objektif pembelajaran. Saya akan melayari internet dan mengerah tenaga, wang dan pemikiran bagi memikir aktiviti yang menarik khas untuk pelajar saya. Saya juga akan menggunakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian untuk menaikkan semangat para pelajar untuk belajar dan memudahkan proses penyampaian pengajaran saya yang adakalanya sukar difahami sekiranya sekadar dijelaskan dengan menggunakan mulut. Saya juga akan melebihkan aktiviti amali berbanding teori bagi menunjukkan dengan lebih jelas kepada pelajar mengenai sesuatu konsep menggunakan bahan bantu mengajar yang berkesan. Bagi mengatasi masalah penyampaian saya, saya akan memperbaiki dari sudut penyampaian iaitu bercakap dengan lebih  jelas dan tepat serta mudah difahami serta bersuara lantang yang boleh didengari para pelajar di dalam kelas.

Sekian.