Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan bagaimana untuk diajarkan supaya dapat difahami pelajar. Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Manakala kelemahan pula adalah situasi atau kelemahan yang dimiliki oleh seseorang,organisasi atau keadaan yang boleh berpengaruh negatif pada masa akan datang. Contoh kelemahan diri adalah seperti kurang keyakinan diri, suka melengah-lengahkan kerja atau masa dan lain-lain lagi.

Dalam hal perancangan pengajaran ini, saya mempunyai satu kelemahan yang agak ketara iaitu saya tidak begitu arif tentang bagaimana untuk menarik minat pelajar. Saya sedia maklum bahawa PdPc abad 21 ini memerlukan guru untuk lebih kreatif dalam mencipta suasana pembelajaran yang menarik supaya pelajar memberi tumpuan dan fokus. Akan tetapi, saya menjadi skeptikal untuk mencuba cara baru dalam pembelajaran kerana takut pelajar akan merasa susah untuk menerima. Walaubagaimanapun, saya harus akui bahawa setelah mengikuti kelas Dr Hafiz, saya berasa teruja kerana pendedahan beliau terhadap penggunaan teknologi sangat memberi manfaat. Teknik dan kaedah yang telah diajar beliau membuatkan saya menjadi lebih yakin untuk membuat perubahan dalam PdPc kelak. Bukan sahaja di dalam kelas, setelah diberitahu mengenai “software” dan aplikasi yang boleh digunakan, saya lebih yakin bahawa cara ini dapat membantu menarik minat pelajar.

Selain dari itu, kelemahan yang saya ada ialah saya agak sukar untuk mengawal emosi. Menjadi seorang guru bukannya mudah memandangkan kita akan berhadapan dengan pelajar yang mempunyai perangai dan ragam yang berbeza-beza. Jujur saya katakan, melihat guru atau pensyarah yang terpaksa berdepan dengan perangai nakal murid menjadikan saya sedikit gusar untuk bergelar warga pendidik. Dimomokkan di dalam akhbar dan media sosial mengenai kes pelajar yang semakin aggresif, saya jadi takut. Takut sekiranya secara tidak sengaja mengeluarkan perkataan atau perbuatan  yang tidak sopan. Bukan sahaja kerana bimbang diapa-apakan pelajar dan disaman, tetapi hal yang lebih besar adalah kerana guru merupakan contoh teladan kepada pelajar. Namun demikian, memandangkan terdapat ramai yang bergelar guru dalam keluarga saya, mereka banyak menasihati dan memberi panduan serta tunjuk ajar dalam mengatasi masalah ini. Kursus yang saya ambil sekarang juga mengajarkan saya cara mengawal emosi dan menjadi lebih tenang.

Kesimpulannya, pendidik juga adalah manusia yang mempunyai kelemahan yang berbeza. Namun demikian, bagi menjadi seorang pengajar yang boleh diteladani, setiap seorang guru perlu mencari jalan terbaik bagi membaiki kelemahan tersebut. Saya akan sedaya upaya mengatasi kelemahan yang ada dari masa ke masa. Akhir kata, memetik satu kata-kata Abdul Kalam, “teaching is a noble profession that shapes the character, caliber and future of an individual”.