Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Rancangan Pengajaran merujuk kepada pelan tindakan untuk sesuatu program pengajaran dan pembelajaran yang disediakan berdasarkan sukatan pelajaran mata pelajaran yang akan diajar untuk tahun akademik atau semester tertentu. Dengan adanya Rancangan Pengajaran, guru boleh menyediakan bahan-bahan pengajaran dengan lebih awal yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan pelajar disamping dapat membantu guru untuk mengatur strategi pengajaran mengikut objektif yang ingin dicapai dalam satu-satu masa. Tambahan lagi, rancangan pembelajaran membolehkan seseorang guru itu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara sistematik mengikut pemeringkatan yang sesuai. Terdapat banyak kelemahan seorang guru ketika menjalankan sesi pengajaran dan saya tidak terkecuali daripada kelemahan tersebut.

Antara kelemahan saya dalam merancang sesuatu pengajaran itu ialah saya masih tidak mahir dalam penggunaan peralatan-peralatan ICT iaitu yang melibatkan pemancar LCD dan sebagainya. Hal ini sudah semestinya akan menimbulkan masalah kerana saya akan mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum memulakan proses pengajaran dan akan mengakibatkan banyak masa terbazir memandangkan saya masih tidak cekap dalam penggunaan peralatan ICT. Selain itu, saya juga kurang kreatif dan ini menimbulkan kebimbangan kerana para pelajar berkemungkinan akan mudah bosan dan tidak bersemangat untuk belajar di dalam kelas ketika saya mengajar. Akhir sekali, saya juga mempunyai kelemahan dari segi ingin memberikan penerangan secara terperinci tentang topik-topik yang sukar dan saya bimbang pelajar tidak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan ketika mengajar,

Oleh itu, saya perlu mengatasi kelemahan-kelemahan ini sekiranya ingin menjadi seorang warga pendidik yang berjaya. Berkaitan dengan kelemahan dalam pengunaan peralatan ICT, saya boleh atasinya dengan mengikuti mana-mana kursus khas atau taklimat khas berkaitan dengan penggunaan ICT agar saya dapat mengetahui cara pengunaan peralatan ICT dengan betul malah saya perlu mengambil inisiatif sendiri dengan membiasakan diri dengan penggunaan ICT. Kelemahan kedua saya pula dapat diatasi sekiranya saya mempelajari teknik-teknik mengajar yang kreatif dengan menggunakan ICT atau menggunakan pelbagai jenis BBM untuk menarik minat pelajar di dalam kelas. Akhir sekali, saya perlu memahirkan diri dengan pelbagai pengetahuan tentang topik yang ingin diajar agar mampu memberikan penerangan secara tepat dan ringkas kepada pelajar supaya mereka mampu memahaminya dengan lebih mudah.

Sekian, Terima Kasih..